Kempen ‘Kami Prihatin’ Sime Darby Plantation Salur Bantuan Keperluan and Tawar Peluang Kerja  

SIARAN AKHBAR
Untuk Siaran Serta Merta
Isnin, 21 Julai 2021
 
Kempen ‘Kami Prihatin’ Sime Darby Plantation Salur Bantuan Keperluan and Tawar Peluang Kerja  
                                                                                                                                                      
Petaling Jaya, 19 Julai 2021 – Sime Darby Plantation Berhad (SDP), dengan kerjasama Yayasan Sime Darby, telah melancarkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada masyarakat serta orang awam yang memerlukan. Kempen yang berlangsung selama enam bulan di seluruh Negara ini turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam operasi perladangan huluan syarikat tersebut kepada warga tempatan yang terkesan serta hilang punca pendapatan akibat suasana persekitaran yang kian mencabar.

Pusat Edaran Bantuan

Beberapa pusat edaran bantuan di ladang serta kilang kelapa sawit milik SDP di seluruh Negara kini dibuka untuk menyalurkan bantuan dan menerima permohonan pekerjaan. Sebagai permulaan kempen ini, pusat-pusat edaran bantuan tersebut boleh didapati di lokasi-lokasi berikut:
 
Negeri Pahang N. Sembilan Melaka
 
Nama ladang-ladang SDP  
  • Mentakab
    (pusat edaran utama)
  • Sg. Mai (Jerantut)
  • Bukit Puteri (Raub/K.Lipis)
  • Chenor 
  • Bradwall
    (pusat edaran Utama di daerah Rantau)
  •   Serkam
 
 

SDP bakal membuka lebih banyak lagi pusat edaran bantuan di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.
 
Beberapa barang makanan seperti beras, minyak masak, tepung, gula, garam, sardin, biskut dan teh uncang serta barangan keperluan asas seperti sabun mandi dan pencuci pakaian, tuala wanita, syampu, ubat gigi serta pelitup hidung dan mulut boleh didapati dalam kotak barangan keperluan kempen ‘Kami Prihatin’ yang akan diedarkan. Turut disertakan dalam kotak tersebut adalah maklumat berhubung peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan SDP, serta cara-cara membuat permohonan kerja kepada sesiapa yang berminat.

Peluang Pekerjaan
 
“Kemerosotan ekonomi global serta kadar pengangguran yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19 adalah di luar jangkaan. Sime Darby Plantation bersyukur kerana kami masih lagi dapat membantu golongan yang kurang bernasib di kalangan masyarakat kita untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar. Syarikat kami membuka pintu seluasluasnya dan mempelawa warga tempatan untuk memenuhi pelbagai kekosongan pekerjaan yang kami tawarkan kerana ini adalah peluang yang lebih bernilai dan bermakna untuk mereka bagi jangkamasa panjang. Untuk tujuan ini, kami juga bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja, PERKESO serta pihak-pihak yang berkenaan supaya bantuan dan peluang menyara hidup dapat diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,” menurut Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan SDP.

Jawatan-jawatan kosong yang ditawarkan oleh SDP termasuklah pakar penuai, pengumpul buah sawit lerai, pemandu (traktor, bas/van sekolah), pekerja kilang kelapa sawit, mekanik, pengendali jentera, pembantu klinik dan pekerja am. Untuk setiap jenis pekerjaan, SDP memberikan latihan yang cukup dan bersesuaian kepada setiap pekerja baru serta peralatan keselamatan peribadi bagi memastikan keselamatan mereka di tempat kerja.

“Adalah keutamaan bagi kami juga untuk memastikan agar para pekerja di operasi perladangan SDP hidup dalam suasana komuniti yang sihat dan selamat. Di samping itu, mereka juga dapat menikmati pelbagai faedah yang menarik seperti perumahan dan rawatan perubatan percuma, skim insurans, barangan makanan dan keperluan khusus setiap bulan, pelbagai elaun dan insentif serta kemudahan-kemudahan seperti klinik, pusat penjagaan kanak-kanak dan pengangkutan anak-anak ke sekolah,” tambah Mohamad Helmy.

Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr. Hjh Yatela Zainal Abidin berkata, “Kempen ini tidak tertumpu kepada keperluan makanan dan barangan keperluan sematamata. Peluang pekerjaan serta faedah-faedah yang ditawarkan oleh SDP memberi harapan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan dalam situasi semasa yang semakin tenat.”

“Melalui sumbangan ketiga-tiga syarikat Sime Darby, dari Mac 2020 sehingga kini, YSD telah berupaya memperuntukan lebih RM12.3 juta bagi tujuan menangani impak COVID-19 serta memberi manfaat kepada lebih 72,000 individu, keluarga dan para petugas barisan hadapan. Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan syarikat SDP dalam inisiatif yang murni ini kerana ia dapat memberi jalan penyelesaian segera dan jangkamasa yang lebih panjang kepada masyarakat tempatan. Adalah menjadi harapan kami semoga kempen ini bukan sahaja dapat membantu melegakan keadaan sosio-ekonomi bagi mereka yang terkesan, malahan juga masalah kesihatan mental yang semakin melanda Negara kita pada masa ini,” tambah Yatela.

Untuk maklumat lanjut berkenaan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh SDP di setiap negeri di seluruh negara melalui kempen ‘Kami Prihatin’, orang awam boleh menghubungi talian-talian utama berikut:

  • Perlis, Kedah,Pulau Pinang & Perak : 019-844 0326
  • Selangor, Pahang, Terengganu & Kelantan: 019-255 1484
  • Negeri Sembilan & Melaka : 011-1984 0290
  • Johor : 011-1919 2273
  • Sarawak : 013-816 5672
  • Sabah : 013-572 1817
Your shopping cart is empty.