Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Antara Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Dengan Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd

KENYATAAN MEDIA
JABATAN PERLINDUNGAN ALAM SEKITAR SABAH


Kota Kinabalu, 6 Mac, 2018 – Seramai lebih kurang 80 orang telah menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd yang disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Tuan Haji Mohd Yusrie Abdullah, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah menerangkan bahawa tujuan memorandum persefahaman tersebut adalah untuk meningkatkan kerjasama antara Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd menerusi pelaksanaan pelbagai program perlindungan alam sekitar. Jalinan kerjasama ini juga adalah selaras dengan halatuju Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah yang telah dilancarkan pada 12 April 2017 lalu, yang menyatakan bahawa pemantauan terhadap pematuhan alam sekitar akan dilaksanakan melalui konteks kerjasama serta penglibatan antara semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Antara lainnya, skop kerjasama adalah pelaksanaan pematuhan kendiri oleh pihak Sime Darby Plantation ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara. Program kesedaran alam sekitar di ladang-ladang Sime Darby Plantation di negeri Sabah dan kawasan kawasan penempatan sekitarnya juga akan dilaksanakan di samping latihan pengurusan dan perlindungan alam sekitar,” tambah beliau.

Pelaksanaan Pematuhan Kendiri ini akan menjadi pemacu ke arah memupuk budaya positif dalam amalan kerja harian dan secara tidak langsung pihak pemaju akan sentiasa peka dan seterusnya patuh terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan. Pihak Sime Darby Plantation Sabah telah menunjukkan komitmen terhadap Pematuhan Kendiri ini dengan menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat pengurusan tertinggi di Sabah iaitu Jawatankuasa Pemantauan Pengurusan Alam Sekitar bagi memantau pelaksanaannya.

Tuan Haji Mohd Yusrie Abdullah menyatakan harapan agar lebih banyak lagi ladangladang sawit mencontohi tindakan Sime Darby Plantation Sabah agar kesedaran dalam melindungi alam sekitar dapat dipertingkatkan di kalangan pihak yang terlibat dalam sektor ini dan seterusnya dapat menjana ekonomi negeri yang mampan.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua-ketua jabatan dan Pegawai Kanan Jabatan dan agensi di bawah kementerian iaitu Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Jabatan Muzium Negeri Sabah serta Jabatan Alam Sekitar Persekutuan, wakil-wakil pihak
pengurusan Sime Darby Plantation Berhad serta wakil-wakil dari sektor perladangan sawit di Sabah, Borneo Samudera, SLDB, Benta Wawasan dan FELDA.
Your shopping cart is empty.