Dedikasi tiga saintis minyak sawit wanita


 
Dedikasi saintis minyak sawit wanita

Bersesuaian dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, tiga saintis wanita yang menyumbang kepakaran dalamindustri minyak sawit di Pusat Penyelidikan Sime Darby yang merupakan pengeluar minyak sawit mampan yang terbesar di dunia berkongsi tentang kerjaya dan tanggungjawab mencabar digalas mereka.
 
Tanggungjawab terbesar pastikan produk selamat

Kita akan cuba lihat berapa lama ia boleh bertahan serta apa perubahan kimia yang berlaku setelah minyak masak ini digunakan beberapa kali bagi proses gorengan.

"Kadangkala benda yang kita goreng juga memainkan peranan untuk ketahanan minyak masak ini. Kita akan mengambil sampel minyak masak bagi proses analisis untuk tujuan keselamatan makanan," terang Norliza Saparin, 27, yang berbicara penuh arif mengenai aspek kimia dan makanan.

Norliza merupakan ketua ahli kimia di Sime Darby Research Sdn. Bhd. Yang bertanggungjawab terhadap penyelidikan dan pembangunan minyak masak serta lelemak yang dihasilkan daripada kelapa sawit.

Selain itu, dia juga memikul tanggungjawab berhubung keselamatan dan kualiti makanan.

"Kita di Sime Darby mengeluarkan minyak sawit. Minyak ini adalah bahan mentah untuk menghasilkan makanan yang lain.

"Minyak yang kita hasilkan ini kita jual kepada industri, oleh itu untuk keselamatan makanan kita harus mengikuti peraturan dan juga undang-undang keselamatan sesebuah negara," katanya kepada K2 ketika ditemui di Pusat Penyelidikan Sime Darby di Pulau Carey, Banting, Selangor baru-baru ini.

Pertemuan itu turut disertai dua lagi pakar penyelidik iaitu Kawsalyavathi Kuppan, 45, dan Dr. Sylvia Kong Pei San, 34.

Mereka bertiga merupakan saintis wanita yang menyumbang kepakaran dan pengetahuan dalam industri minyak sawit di pusat penyelidikan tersebut. Menjadi syarikat perladangan terbesar dan juga pengeluar minyak sawit mampan terbesar di dunia, Sime Darby Plantation terbukti memberi ruang dan peluang kepada golongan wanita yang berpotensi untuk bersama dengan mereka.

Mengulas lanjut mengenai undang-undang keselamatan makanan, Norliza berkata, bagi pasaran Malaysia, produk yang dihasilkan harus mematuhi Akta Makanan 1983, manakala untuk pelanggan dari Eropah, peraturan-peraturan yang telah ditetapkan negaranegara di benua tersebut mestilah dipatuhi.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan mereka adalah syarikat-syarikat besar yang mempunyai reputasi tersendiri.
 
Oleh itu, Norliza dan pasukannya perlu memastikan produk minyak dan lelemak yang mereka hasilkan itu mengikuti kehendak pelanggan serta pada masa sama menepati peraturan keselamatan makanan.

Norliza yang merupakan graduan dalam bidang kimia gunaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
menjelaskan mereka harus memastikan kualiti minyak dan lelemak yang baik dihasilkan sebelum dihantar kepada pelanggan.

"Untuk menjaga kualiti produk ini ia bermula dari ladang lagi dan akan melalui beberapa proses. Setiap proses ini pula akan melalui kawalan kualiti.

 "Dalam proses kawalan kualiti ini, jika kita menjumpai benda-benda baharu sebagai contoh pencemaran yang berlaku dalam minyak, kita akan siasat punca kepada masalah ini. Pencemaran ini boleh berlaku disebabkan tanah, persekitaran ladang dan lain-lain lagi yang memberi kesan terhadap buah sawit," tegasnya.

Mula berkhidmat dengan Sime Darby sejak 2007, Norliza cukup menghargai akan peluang yang diberikan itu.
 
Baginya, wanita juga boleh memikul tugasan yang besar jika diberikan peluang dan ruang untuk mereka mengembangkan bakat dan potensi yang ada dalam diri.
 
Kawsalyavathi, 45, juga diberi peranan besar untuk menjawat jawatan sebagai pengurus pembangunan produk pusat inovasi Asia di Sime Darby Research Sdn. Bhd.
 
"Saya telah terlibat dalam bidang industri makanan sejak 20 tahun lalu dan telah berkhidmat dengan Sime Darby sejak 2010.
 
"Di sini'tugas saya adalah untuk membangunkan produk-produk makanan baharu yang berasaskan sawit mengikut kehendak pelanggan," katanya.
 
Antara produk yang dihasilkan oleh Kawsalya dan pasukannya adalah seperti bahan untuk menghasilkan bakeri, marjerin, coklat, minyak gorengan dan lain-lain lagi.
 
Dia menjelaskan, mereka akan bekerjasama dengan pelanggan untuk membangunkan produk baharu yang memberi manfaat kepada pengguna.
 
"Ada pelanggan yang mahukan minyak masak yang tahan lasak dan berkhasiat. Oleh itu menjadi tanggungjawab kami untuk menghasilkan produk mengikut permintaan mereka.
 
"Minyak yang kami hasilkan ini kebanyakan adalah untuk kegunaan industri makanan segera. Oleh itu, kami perlu menghasilkan minyak yang berkualiti dan tahan lama bagi proses gorengan," jelasnya yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang teknologi makanan.
 
Tambahnya, dia gembira dengan tugasnya itu kerana dapat bekerja dengan pasukan penyelidik dan
pembangunan daripada syarikatsyarikat luar yang juga merupakan pelanggan Sime Darby.
 
Mereka akan bersama-sama melakukan analisis untuk membangunkan sesuatu produk yang mereka inginkan.
 
Bagaimanapun, Kawsalya menjelaskan, antara cabaran yang mereka hadapi adalah untuk menghasilkan produk makanan yang memenuhi cita rasa pengguna.
 
Pelanggan mereka adalah daripada pelbagai negara oleh itu produk yang bercita rasa tempatan perlu dihasilkan.
 
"Sebagai contoh kita mendapat permintaan untuk menghasilkan marjerin dan komponen paling utama menghasilkan produk itu adalah rasanya. Cabaran utama kita adalah untuk menyesuaikan rasa produk inimengikut cita rasa masyarakat sesuatu negara," katanya.
 
Jelasnya, kebiasaannya mereka akan meminta sampel dari pengeluar tentang
cita rasa pengguna mereka.

"Sampel ini akan dijadikan tanda aras untuk mereka menghasilkan produk tersebut.
 
"Pasukan penyelidik akan melakukan analisis untuk dapatkan rasa yang dikehendaki dalam menghasilkan produk makanan itu," katanya.
 
Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang diberi peranan oleh syarikat tersebut dalam pembangunan produk ialah Sylvia. Dia gembira diberi peluang untuk menyumbang kepakarannya di situ.
 
Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari National Polytechnic Institute of Toulouse, Perancis, Sylvia sebelum itu merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan kimia dari Universiti
Malaya.
 
"Saya baru tiga tahun berkhidmat di sini. Sebelum ini saya juga terlibat dalam bidang industri minyak sawit tetapi ia lebih kepada aktiviti downstream.
 
"Di sini ia sedikit berbeza di mana saya terlibat dalam pembangunan produk baharu dan melakukan inovasi berdasarkan permintaan pelanggan serta trend penyelidikan," jelasnya.
 
Sylvia mengakui berdasarkan pengalamannya sebelum ini, industry minyak kelapa sawit banyak didominasi oleh kaum lelaki. Walaupun begitu, bidang itu juga boleh dilakukan wanita jika diberi peluang.
 
"Saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada warga kerja di sini. Sime Darby sentiasa memberi Latihan kepada kami untuk meningkatkan keupayaan diri. Tidak sukar menyesuaikan diri dengan budaya kerja di sini yang turut menyediakan program mentor bagi membolehkan kami belajar dengan mereka yang lebih berpengalaman," ujarnya.
 

Source: Kosmo!
Your shopping cart is empty.